
Nenek aku kawin dengan Datuk pada umur 14 tahun. Datuk pada waktu itu dah pun berusia 20an dan ia adalah perkahwinan Datuk yang kedua. Nenek adalah pilihan ayah kepada Datuk dan Datuk tidak membantah. Bagaimana aku tau? Ia adalah cakap-cakap yang didengar sewaktu setahun sekali berhari raya dengan saudara mara Nenek dan Datuk. Kakak Nenek yang kami panggil Nek Besar yang beritahu. Nenek berkahwin dengan Datuk manakala adik Datuk berkahwin dengan kakak Nenek. Pertalian ini menjadikan kami semua rapat dengan Nek Besar dan Tok Kecik…adik Datuk dipanggil Tok Kecik. Kedua-dua Nek Besar dan Tok Kecik telahpun meninggal dunia, sama juga dengan Nenek aku.
Nenek meninggal dunia pada tahun 1997, iaitu sebaik saja aku bertunang pada hujung tahun 1996. Nenek meninggal kerana sakit tua, tetapi ia hanyalah sebagai asbab dari ajal yang telah tiba. Nenek semasa hidupnya adalah seorang yang lemah lembut, malah tak pernah aku dengar suara nenek meninggi walau “pitching” percakapan nenek adalah nyaring. Jika nenek tidak setuju, nenek hanya akan mencebikkan bibir dan berlalu pergi. Nenek aku adalah orang yang paling sabar, walau dengan anak-anak yang ramai.
Rutin harian nenek setiap hari bermula jam 5.30 pagi. Nenek akan bangun pagi dan mandi bersiap untuk solat subuh. Sementara menanti Datuk, nenek akan berwirid dulu. Selesai solat, berwirid lagi dengan Datuk. Setelah itu, kerja rumah telah menanti, baju Datuk tidak boleh masuk mesin kerana Datuk tak suka. Maka memberuslah Nenek di bilik air. Kemudian minum pagi Datuk disediakan kerana Datuk tak suka minum bersama dengan anak-anak atau cucu. Hidangan Datuk selalu istimewa dengan sepiring kuihnya sendiri dan segelas airnya yang telah dituang dan ditutup rapi. Datuk selalu minum sendiri dan jika Datuk berkata-kata dengan Nenek pun, Nenek tidak duduk sekali, mungkin kerana banyak kerja rumah yang perlu diselesaikan.
Rutin Datuk adalah membeli bahan untuk dimasak, apa saja yang dibeli Datuk akan dimasak Nenek. Oleh itu, janganlah merungut jika lauknya sama setiap hari kerana semua orang makan apa yang disukai Datuk. Pada waktu itu, kami merungut tapi sekarang ia jadi kenangan yang lucu.
Selesai masak Nenek akan bersiap untuk zuhur. Solat berjemaah adalah mesti. Mana mungkin Datuk yang seorang bekas imam solat sendiri. Cukup nenek sebagai makmum maka lengkaplah jemaah. Seingat aku, tidak pernah nampak nenek solat sendiri. Pada waktu petang sekitar jam 2.30 dan 3.00, nenek akan mengambil baju di ampaian dan melipat dan menggosok pakaian Datuk. Walau hanya pakaian untuk solat, tapi semua pakaian Datuk mesti bergosok. Memang datuk segak dengan pakaian yang kemas sentiasa. Malah nenek juga tidak kurang hebat kerana sering berpakaian lengkap berbaju kurung sepasang setiap hari.
Kenangan aku tentang nenek, ialah nenek aku sentiasa cantik berbaju kurung sepasang dengan tudung lengkap di kepala. Tidak pernah aku nampak nenek dengan rambut putih kusut masai dalam keadaan belum mandi. Nenek sentiasa berbedak walau hanya bedak batu cap nyonya. Dan nenek selalu wangi.
Aku kagum dengan penampilan nenek aku.
Pada hari nenek meninggal, makcik aku bercerita, nenek masih ingat untuk buatkan air Datuk. Nenek masih bangun mengerjakan kewajipannya sebagai isteri seperti biasa walau pada waktu itu nenek telah lemah sekali, dan nenek pergi dengan ingatan dan niat untuk terus berkhidmat untuk Datuk.
Selesai jenazah nenek disempurnakan, Datuk memanggil semua anak-anak dan cucu-cucunya untuk berkumpul mendengar tazkirahnya. Ia adalah perkara rutin dan kami telah biasa dengan tradisi ini sejak dulu lagi. Tazkirah Datuk kali ini disulami dengan esak dan tangis kerana Datuk menceritakan betapa baiknya nenek. Nenek tidak pernah meninggi suara kepada Datuk, nenek menjaga Datuk dengan penghormatan selayaknya seorang suami dan diakhir ucapan Datuk, tazkirah ditutup dengan kata-kata “Setelah 52 tahun aku kawin dengan mak kamu, aku REDHA dengan dia, dia isteri yang baik”… pada waktu itu semua yang mendengar menangis tersedu-sedu, kerana semua tahu kenyataan itu adalah kenyataan kemenangan bagi nenek.
SABAR nenek telah memberikan kemenangan kepadanya, kerana diakhir hidup bukankah KEREDHAAN suami yang diharapkan oleh seorang isteri?
Kenyataan Datuk memberikan impak yang sangat bermakna untuk diri aku. Aku yang pada waktu itu sedang membina role model kerana berada di ambang perkahwinan menjadikan ia sebagai moto hidup seorang isteri. Mencari REDHA suami. Namun malangnya aku belum dikurniakan SABAR seperti nenek. Aku masih mencari dan berdoa untuk mendapatkan SABAR seperti nenek. Sebaiknya aku menjadikan isteri-isteri Rasulullah sebagai role model isteri namun aku selalu teringatkan nenek aku kerana nenek tidak berkahwin kepada alim ulamak jauh sekali seorang nabi. Nenek hanya berkahwin kepada seorang bekas imam yang juga manusia biasa yang sedang mencari keredhaan Allah dan perlakuan nenek seakan dekat dengan aku kerana mungkin dapat aku warisi genetik nenek. Namun tidak kesabarannya.
Aku masih berusaha menjadi yang lebih baik … aku masih cuba melakukan apa yang diperlukan untuk mendapat redha suami tapi aku belum berjumpa dengan senarai yang sebaiknya aku ikut untuk menuju kearah itu. Aku hanya manusia biasa …
1 comment:
bukan senang nak senang..... kita tau keupayaan diri kita, di mana kekuatan dan kelemahan kita dan juga tau tentang potensi yg ada pada diri kita. Semua yg di cari sudah ada pada diri kita sendiri cuma kita tak tau macamana dan bila nak gunakannya......aku masih mencari2 siapa diri ini
Post a Comment