
Tiba-tiba terasa telah terlalu lama blog ini ditinggalkan. Bukannya tidak ada peristiwa yang berlaku malah banyak sungguh namun tidak semua perasaan hati perlu dikongsi bukan?
Tapi ada juga teman yang masih mencari aku untuk berkongsi rasa dan perasaan. Dan teman ini memang sangat rapat dengan hatiku kerana perasaannya dekat denganku. Tiap minggu pasti bertemu dan sepertimana aku, dia juga tidak semudah itu untuk berkongsi rasa dengan teman2 lain. Maka jadilah kami teman akrab terutamanya dalam soal hati dan perasaan wanita. Tidak sekali aku mengaku yang aku ini mahir dalam soal hati dan perasaan tetapi apabila teman ingin berbicara tidak sampai hatiku untuk menolak kendatipun dalam kesibukan dunia.
Maka jadilah kami penilai isu-isu wanita dan ayat-ayat yang disampaikan oleh pihak sebelah. Jadilah kami buffer untuk meneutralkan suasana masing-masing supaya terdapat perspektif yang satu lagi selain dari diri sendiri. Seringkali menurut pengalamanku sendiri, jika terlalu berfikir dan mencari jawapan kepada persoalan diri, bingung juga kepala ini. Tetapi kini, aku jarang bingung dengan soal diri, aku rasa tidak adil bagi diriku untuk memikirkan soal manusia lain kerana Allah telahpun menjadikan manusia itu seperti dirinya sendiri. Siapalah aku ingin menjadikan dia manusia lain, sedangkan dia yang kupilih sedari awal untuk sama-sama mencari keRedhaan Ilahi. Itu juga yang selalu aku bincangkan dengan temanku, terima manusia seadanya dan tidak perlu untuk menjadikan dia lebih baik (pada pandangan sendiri)..siapalah kita? Kita hanya mampu berdoa, biar Allah yang menjadikan dia lebih baik kerana kita tidak mampu menukarkan manusia menjadi apa sekalipun.
Dan setelah berbincang soal hati berjam-jam lamanya, kesimpulan terakhir yang kami boleh garapi adalah hidup ini satu perjuangan dan setiap ujian Allah yang didatangkan melalui manusia adalah platform untuk kita memperbaiki diri sendiri menjadi yang lebih baik. Bukannya untuk memperbaiki orang lain yang pada pandangan kita berbuat salah kepada hati kita. Setiap ujian adalah untuk hati kita belajar sabar, belajar berserah kepada Allah, belajar Redha dengan segala ketentuan Allah..lepaskan segala! Lepaskan apa saja perasaan, hanya hidup mencari Allah.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment