
Dalam kehidupan kita sejak dilahirkan kita melalui berbagai fasa. Semasa kecil kita memegang peranan sebagai anak, kita dididik dan diasuh dengan segala macam nilai-nilai perlu dalam kehidupan. Nilai-nilai yang dianggap murni oleh ibubapa. Akhlak dididik dan dipelihara supaya dapat menjadi insan yang sempurna dan berfungsi dalam masyarakat.
Seterusnya tugas tersebut disambung dan ditambah lagi oleh guru-guru dan rakan taulan di sekolah. Peranan kita bertambah, sebagai pelajar danahli masyarakat sekolah. Dan peranan-peranan itu bertambah saban tahun apabila kita menginjak usia remaja dan dewasa. Semua peranan tersebut adalah bola-bola dalam kehidupan yang perlu sambut dan dipelihara supaya tidak tercicir walau satu pun.
Jadi pada masa ini, di saat kita berada di fasa kedewasaan, kita barangkali punya berbagai bola yang masih dipegang dan diimbangbalik dalam kehidupan kita seharian. Bola-bola tanggungjawab sebagai anak, sebagai ibu atau bapa, sebagai kakak atau abang, sebagai pelajar jika masih bergelar pelajar, sebagai pekerja, sebagai ahli masyarakat, sebagai AJK dalam persatuan, semua itu akan berada dalam tangan kita dan kita perlu mengimbangi supaya kita masih waras dan punya waktu untuk diri.
Dan di dalam keseimbangan tersebut, pernahkah anda terlepas salah satu bola tersebut apabila anda terlalu asyik membelek satu bola tanggungjawab sahaja?
Tidakkah anda rasa bersalah apabila anda terlalu mengharapkan kesempurnaan pada satu bola tetapi menyisihkan pandangan pada bola tanggungjawab yang lain? Pernahkah anda terfikir apabila anda cuai dan lalai mengimbangi satu bola, ada insan lain yang akan menyambut bola tersebut supaya ia tidak terhempas berderai ke lantai dan menggangu keseimbangan hidup anda di kemudian hari? Namun walaupun bola tanggungjawab tersebut disambut dan dibantu oleh insan lain, puncak tanggungjawab masih terletak di batu jemala anda, AnDA tidak akan terlepas dari urusan pertanggungjawaban di akhirat kelak! Jadi jangan sesekali anda leka melunaskan tanggungjawab anda walau terdapat oranglain yang menyambut dan mengimbangi bola tanggungjawab anda di dunia ini.
Ingatlah, apa yang dilepaskan akan kembali ke pangkuan anda satu hari nanti! Oleh itu, Jangan lupa untuk berfikir.
2 comments:
hidup penuh cabaran, hidup penuh dugaan dan tak semua impian jadi kenyataan dan tak semua yang jadi kenyataan itu adalah kemahuan kita tapi itulah takdirnya.
ada pendapat menyatakan..kita boleh mengubah takdir dengan usaha dan doa berterusan..wallahulam.
Post a Comment