Wednesday, February 3, 2010

Solat dan aku




“Tak guna solat tonggang tonggik kalau masih fikir begitu!! “

Penyataan yang sangat memedihkan tiap kali kedengaran apabila perbahasan bertukar pahit. Aku kalah kalau itu yang dilontarkan, tidak kiralah siapa yang melontarkan. Persoalan solat adalah urusan aku dengan Allah, hubungan aku dengan Allah, pengaduan aku dengan Allah, tiada sesiapa punya hak untuk mempersoalkan kualiti dan kuantiti solat aku kepada Allah. Hanya Allah mengetahui, hanya Allah berhak menilai!

Aku sangat marah bilamana kata-kata manusia hanya sekadar ingin menyakitkan hati. Tidak kesampaian maksud jika pernyataan disampaikan hanya untuk menyakitkan hati. Jika pernyataan tersebut disampaikan dengan niat ingin memperbaiki lagi kualiti dan kuantiti solatku..maka silakan. Aku dengan besar hati sudi menerima dan mendengar tunjukajar tersebut tetapi jangan cuba menempelak diriku dan hubungan aku dengan Allah. Jika ingin menurut jahatnya hatiku ini, maka terdetik juga ingin menjawab “alangkan dengan solat, fikiranku boleh sejahat ini, bagaimana agaknya jika tidak bersolat!” tetapi tidak pernah keluar kata-kata kurang beradab ini. Kenapalah akalku tidak secekap ini bila ingin menangkis kembali kata-kata pedas dan berbisa daripada manusia-manusia yang suka menempelak bila ditegur.

Kenapa ada manusia tidak suka ditegur? Adakah teguran aku tidak sesuai dan tidak selayaknya bagi sesetengah manusia? Atau adakah ada orang yang menganggap dirinya betul sentiasa maka tiada sesiapa berhak menegur! Angkuhnya manusia jika beranggapan diri tidak layak ditegur..moga-moga aku tidak tergolong dalam golongan manusia-manusia sebegitu. Atas dasar itulah kita dianjur mendengar kuliah-kuliah yang disampaikan oleh ustaz dan ustazah, carilah peluang mendengar sebelum sampai satu ketika bilamana mata dan matahati buta dan dibutakan oleh dunia dan nafsu semata. Pada waktu itu, diri telah rasa sempurna dan bebas daripada kesalahan kerana tidak pernah mendengar input yang seharusnya telah ada sebagai benteng sebelum berlakunya perkara-perkara yang boleh melalaikan dan merugikan diri sendiri.

Seperti kata anak aku, apabila aku memaksanya untuk pergi mendengar pengajaran kaedah-kaedah membaca dan mengambil nota.. bentaknya semua itu dia telah TAHU.. tetapi jawabku apa yang anak 10 tahun tahu, alangkan mama yang tua masih menuntut ilmu dan ada yang masih tidak tahu!. Ilmu perlu dan boleh dikutip sepanjang usia. Tidak semestinya cukup dengan ilmu yang dipelajari di bangku sekolah. Samalah juga dengan manusia-manusia yang liat untuk mendengar peringatan daripada ustaz2, malah pengajaran ustaz yang berbaur politik lebih digemari berbanding dengan ustaz yang mengajar sirah dan tauhid. Walaupun sirah,tauhid, adalah tajuk2 yang telah dilalui sewaktu sekolah dahulu namun ia sesuai didengar sepanjang zaman kerana ia akanmeningkatkan kecintaan kepada Rasullullah dan secara tidak langsung hati menjadi lembut dan dekat kepada kebenaran Allah dan Rasul.

Mengetahui sahaja tidak cukup. Dalam zaman yang serba mencabar dan dosa yang boleh dikutip sambil lewa., kita perlu untuk sering diperingatkan tentang keTAUHIDan Allah. Allah masih penyanyang, Allah maha mengetahui, Allah maha melihat dan mendengar.. mungkin dengan cara sedemikian manusia-manusia ini faham bahawa.. solat yang aku perbuat bukanlah untuk menunjukkan aku orang Islam semata tetapi sebagai proses pembersihan jiwaku secara berterusan kerana aku tidak tahu bagaimana lagi boleh aku perbaiki hatiku selain daripada mengadu pada Allah.

1 comment:

Anonymous said...

sahabatku, jangan gusar jika orang menegur mu seketika kau pasti kau masih di landasan yang benar dan bermuhasabah diri lah kita jika teguran itu ada kebenarannya. Kita akan terus berjalan selagi masih bernafas ke arah kesempurnaan yang masih di cari-cari itu.

Being calm or being ambitious

 Assalamualaikum w.b.t. These few days i start thinking again..not that i havent been thinking all this while. Its just most of the time the...