
Hari ini aku ingin rehat. Rehat dari bahasa akademik, rehat dari rajah dan draf, rehat dari penulisan bahasa saintifik.
Hari ini aku ingin baca mengenai perkara yang selain dari sains. Aku ingin baca untuk diri bukan untuk tesisku. Oleh itu izinkan aku berkongsi sama mengenai pembacaanku sejak semalam.
Aku di kala ini sedang membaca buku Rentetan dan Hikmah Fadilat, Zikir dan Doa Harian. Buku ini terkandung hikmah-hikmah hari serta kejadian yang berlaku pada 7 hari dalam seminggu tersebut, sejarah yang berlaku pada hari-hari Isnin hingga Ahad, dan juga beberapa panduan serta nasihat sebagai Muslim dan bagaimana menjalani setiap hari sebagai Muslim yang hebat.
Banyak ilmu yang dapat kukutip dari pembacaan ini. Walaupun ada input yang telah kubaca dari buku dan laman blog yang lain namun ia tetap berguna sebagai peringatan bagi diriku yang sering lupa dan alpa.
Kali ini aku ingin berkongsi mengenai Zikir. Aku amat tertarik dengan zikir kerana ia boleh menjadi pengubat hati ketika sepi, penenang hati ketika gundah malah dapat menyejukkan hati ketika marah.
Zikrulah atau yang bermaksud mengingati Allah mampu mendamaikan jiwa. Ia lebih baik dari meditasi dari barat, yoga dan sebagainya kerana Zikrulah datang daripada Allah dan RasulNya. Namun berzikir harus khusyuk supaya fungsinya dan objektif berzikir dapat dicapai. Terdapat zikir-zikir yang difokuskan pada hari-hari tertentu namun berzikir itu sendiri sangat baik, maka lebih baik dilakukan sebanyak mungkin tanpa mengira hari dan waktu.
Fadilat Zikir
Pada suatu ketika seorang lelaki bertemu sahabat Rasulullah SAW. Abdullah Ibn Mas’ud dan berkata: Wahai Ibn Mas’ud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku. Buat masa ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut, tidurku tidak nyenyak dan seleraku hilang.
Abdullah menjawab: Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat;
1. Ke tempat orang membaca Al-Quran tidak kira samada kamu ikut membacanya atau kamu sekadar mendengar bacaan oranglain.
2. Kamu menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah.
3. Kamu mencari satu waktu yang sunyi contohnya pada waktu malam dan ketika itu kamu bangun melaksanakan ibadat kepada Allah serta memohon kepadaNya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati kepadamu.
Jika selepas melakukan semua itu dan jiwamu masih juga tidak tenteram, mintalah kepada Allah agar digantikan dengan hati yang baru kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukanlah hatimu.
Berzikir dapat meredakan tekanan dan membuat hati ceria.
Apabila kita berzikir dengan khusyuk, jantung berdenyut dengan kadar yang lebih rendah daripada biasa dan gelombang theta dalam otak meningkat dengan jelasnya.
Gelombang theta adalah gelombang otak yang wujud apabila seseorang berada pada masa yang amat menenangkan terutama ketika hampir terlena. Pada waktu itu, ibadat kita dapat meredakan tekanan dan menjadikan kita lebih tenang dan lebih ceria. Hormon stress cortisol juga amat rendah di kalangan mereka yang beribadat dengan khusyuk. Kajian barat juga ada menyatakan bahawa sesuatu ayat yang diulang-ulang dalam kadar yang tetap dapat menenangkan fikiran.
Malah dalam Al-Quran:
Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.
(Ar-Ra’d, ayat 28)
Maka, mulailah hari anda dengan zikir kepada Allah SWT. Zikir yang paling mudah bagi sesiapa yang baru ingin mengamal zikir adalah Lailahaillah, mengakui KeEsaan Allah... lakukan setiap hari setiap masa dan dalamilah maksudnya dalam hati. Insya’Allah hati akan sejahtera.
Wallahualam.
3 comments:
penulisan anda semakin baik dan nampaknya anda semakin semangat untuk menulis.....teruskan niat murni anda
Laaillaha illallah itulah asas agama..."Allah maha kuasa, makhluk langsung tak ada kuasa" itulah maksudnya...
"Berzikirlah dengan menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya. Hendaklah sentiasa berzikir pada waktu malam ataupun siang, di daratan ataupun di lautan, semasa berada dalam perjalanan atau tidak, dalam keadaan miskin ataupun kaya, ketika sakit ataupun sihat dengan perlahan ataupun nyaring dan dalam apa-apa saja keadaan..."
Post a Comment